RAWATAN dalam Islam terbahagi kepada dua jenis. Pertama, rawatan hasil daripada kajian dan pengalaman seperti yang diamalkan doktor dan pengamal perubatan. Itu rawatan diiktiraf Islam.
Sabda Nabi SAW dalam hadis, “Barang siapa yang mengubati orang (menjadi doktor) dan dia tidak mengetahui ilmu kedoktoran, maka dia bertanggungjawab (atas akibat berlaku kepada pesakit).” (riwayat Abu Dawud)
Ini bermakna Islam mengiktiraf ilmu perubatan, dan ilmu perubatan terhasil daripada kajian diiktiraf Islam. Bukan ubati tanpa menguasai ilmu perubatan.
Sabda Nabi dalam hadis, “Sesungguhnya ALLAH menciptakan penyakit dan ubat, maka berubatlah dan jangan kamu berubat dengan yang haram.” (riwayat Ad-Daulabi dalam Al-Kuna)
Kedua, rawatan yang disebut sebagai ruqyah (jampi). Jampi dimaksudkan adalah bacaan diajar Nabi SAW dan para sahabat.
Antara yang masyhur adalah hadis daripada Abu Said Al-Khudri RA dalam Sahih Imam Al-Bukhari apabila beliau menjampi seorang ketua kampung yang dipatuk haiwan berbisa.
Maka beliau membaca surah Al-Fatihah dan kemudian seolah-olah meludah kepada air.
Ruqyah ini ada prinsipnya. Pertama, kita perlu lihat kepada orang sakit. Katakanlah si polan sedang sakit. Yang terbaik baginya adalah dia meruqyah dirinya sendiri, iaitu membaca ayat-ayat ruqyah yang diajar dalam hadis untuk mengubati dirinya sendiri.
Kedua, jika dia tidak tahu cara menjampi (ruqyah), dia boleh merujuk orang yang pandai meruqyah.
Dia perlu lihat siapa dia pilih. Kalau pergi kepada orang yang pakaiannya pun tidak sempurna, memakai benda diharamkan seperti rantai, memakai banyak cincin (bagi lelaki), tidak memakai baju, bagaimana kita hendak jadikan dia orang kepercayaan meruqyah kita.
Nabi SAW cuma memakai satu cincin, Baginda tidak pernah berada dalam keadaan terbuka pakaiannya, Nabi menutup aurat dan Baginda sentiasa memakai dua kain; rida’ dan izar yakni kain yang menutup bahagian bahu (badan) dan bahagian bawah.
Kalau kita baca betul-betul ayat al-Quran untuk menjampi tetapi tidak sembuh sakitnya, bukan bererti ayat-ayat itu tidak mujarab dan tidak mustajab. Mungkin ALLAH SWT hendak menguji kita, sejauh mana keyakinan kita dengan ajaran ALLAH dan Rasul. Itu ujian kita.
Ketiga, pastikan bacaannya daripada al-Quran ataupun as-Sunnah serta dibaca dalam bahasa Arab. Adapun doa kita sendiri untuk meminta secara khusus, tidak ada masalah dalam bahasa selain Arab.
Imam Ibnu Hajar senaraikan syaratnya; doa mesti daripada al-Quran dan as-Sunnah, dan ia tidak boleh berbentuk serapah. Dan tidak perlu meletakkan limau, kemenyan, atau sebagainya. Semua ini tidak perlu. Islam mengajar ruqyah hanya dengan air sahaja.
Islam mengajar semua ini kerana bimbang kepada syirik yang akan membatalkan semua amalan.
Rugi solat, puasa, zikir, sedekah, semuanya habis apabila seseorang mensyirikkan ALLAH, kerana dia meletakkan kepercayaan kepada bomoh itu lebih tinggi atau setara dengan kepercayaannya kepada ALLAH.
Saya ingin membawa contoh mudah. Syaitan bukan takut dengan mushaf atau lembaran al-Quran, sebaliknya syaitan takut dengan pengamal dan pembaca al-Quran.
Sebab itu di dalam masjid pun orang boleh mencuri tabung masjid dan berzina sedangkan beratus-ratus al-Quran ada di dalam masjid.
Jika dalam agama Kristian mereka meletakkan tanda salib, ada sesetengah orang dalam Islam yang meletakkan al-Quran untuk menghalau syaitan, sedangkan syaitan bukan takut dengan al-Quran.
Bahkan syaitan sendiri pernah mengajarkan Abu Hurairah RA ayatul Kursi supaya syaitan tidak mengganggunya daripada malam sampai bangun tidur.
Jadi Islam mengajar perbezaan daripada agama-agama lain.
Islam bukan agama simbolik yang bergantung kepada kepercayaan-kepercayaan seperti menggantung ayat Kursi untuk takutkan hantu, letak Quran bawah bantal, letak itu, tampal ini.
Tidak, ia bergantung kepada orang tersebut apakah dia beramal atau tidak dengan ayat-ayat al-Quran.
No comments:
Post a Comment